Tuesday, August 05, 2008

Dewan Ulamak gesa PAS kekal bersama Pakatan Rakyat - Kelantankini

MACHANG: Dewan Ulamak PAS Negeri Kelantan mahu parti itu terus kekal bersama Pakatan Rakyat dan tidak melawan arus kebangkitan rakyat yang sudah muak dengan Umno dan Barisan Nasional.

Perkara itu antara usul diputuskan pada Muktamar Sanawi Dewan Ulamak PAS Kelantan kali ke-37 yang diadakan di Markaz Dewan Ulama (Madu), di sini, minggu lalu.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, usul mengenai perkara itu dibawa seorang perwakilan pada muktamar yang diadakan pada 26 Julai lalu.

Usul tersebut dikemukakan Dewan Ulamak Pengkalan Chepa yang mendesak PAS Pusat supaya tetap teguh bersama Pakatan Rakyat demi membela keadilan dan kemasylahatan rakyat yang telah diabaikan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Usul lain yang diterima tanpa dibahas dibawa Ulamak Kawasan Pengkalan Chepa dan Ketereh, manakala usul yang dibahas dikemukakan Dewan Ulamak Kawasan Kota Bharu, Ketereh dan ahli jawatankuasa Ulamak Negeri,” katanya ketika ditemui di sini.

Semua usul tersebut dibahaskan dan diterima sebulat suara.

Usul kawasan Ketereh pula mencadangkan diadakan muktamar khas bagi membincangkan senario politik hari dan kesan kepada politik orang Melayu dan Islam.

Selain itu Ulamak Kota Bharu mencadangkan kepada kerajaan negeri Kelantan supaya menaikkan elaun pegawai dan kakitangan Unit Dakwah Halaqat Negeri Kelantan sesuai dengan peranan dan tugas yang dijalankan.

Usul kawasan tersebut juga mahu kerajaan negeri mempercepatkan kenaikan elaun guru-guru al Quran daripada RM100 sebulan sekarang kepada RM200, manakala elaun guru fardhu ain juga kepada RM200 sebulan.

Abdullah juga berkata, perbahasan pada muktamar tahun ini agak berkurangan kerana perwakilan mungkin berpuas hati terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan Dewan Ulamak bagi sesi lepas.

“Dewan Ulamak juga menubuhkan lima unit khas iaitu Unit Kuliah, Unit Munajat, Unit Lawatan Muhibbah, Unit Kewangan dan Unit Penyelidikan bagi memastikan peranan ulama lebih berkesan.

“Banyak kejayaan dicapai hasil kesungguhan unit terbabit khususnya pada pilihan raya umum lalu di Kelantan,” katanya.

Beliau juga berkata, Dewan Ulamak Kelantan memiliki markaz sendiri yang di tapak seluas tujuh ekar yang diurus melalui anak syarikatnya Madu Naduah Enterprise.

Markaz Madu itu mempunyai dewan besar, dewan seminar, asrama, rumah tamu (darul dhifah) dan kantin.

Pengurus Madu Naduah Enterprise, Ahmad Kassim berkata, pihaknya juga kini menternak ikan talipia dan keli di beberapa kolam yang dibina di kawasan tersebut.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menyewa dewan atau asrama Madu untuk mengadakan seminar atau menginap boleh menghubungi talian 019 909 9912.

Pautan: Kelantankini.com